Monday, March 1, 2010

Di Bilik Kecil Itu...

Sejak akhir-akhir ini aku sibuk dengan assigment. Banyak Assigment yang aku rase perlu di siapkan dengan kadar yang segera. huhu.. sekarang aku sedang menyiapkan sebuah cerpen untuk Assigment Subjek Penulisan Kreatif. Aku hampir menyiapkannya. tapi aku tak tahu begaimana nak teruskannya lagi.. macam dah kehilangan idea. Asalnya idea ini aku ambil daripada berita pembunuhan yang seorang remaja lakukan terhadap ayahnya. Aku garapkan idea ini menjadi sebuah cerpen. Namun aku menukarkan cara jalan ceritanya. Berita pembunuhan itu sebagai satu idea untuk aku sampaikan cerita ini. jadi aku letakkan cerita tu di sini untuk berkongsi bersama-sama..


Cerpen
Di bilik kecil itu
Oleh : Dianzawilis

“ Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosa aku Ya Allah! Sesungguhnya dosa aku amatlah besar, aku berdosa Ya Allah”
Sayup-sayup kedengaran suara berkata-kata dalam cahaya suram bertemankan tangisan yang tiada henti.
“Ampunkan aku Ya Allah, ampunkan aku”
Perlahan-lahan kepalanya dijatuhkan pada kain pelikat yang terbentang dihadapannya. Bersujud di situ dengan lama. Basah kain pelikat itu dek air mata yang mengalir. Terbayang wajah-wajah orang yang disayangi. Semalam ibu datang, ibu memeluk dan mencium pipinya bertalu-talu. Ibu menangis. Ibu mengusap kepalanya berkali-kali.
“Ingat Allah Fauzan, banyakkan mengucap kalimah Allah, ingat Allah”
Bisik ibu berkali-kali di telinganya. Masih utuh tersemat bisikan ibu semalam.
Ibu sayang Fauzan, Ibu tak benci anak ibu”
Kucupan demi kucupan singgah di wajah Fauzan. Ibu masih sayang padanya.
“ Ya, Allah aku berdosa kepada ibu aku Ya Allah”
Bicara Fauzan dalam sujudnya. Air mata masih mengalir. ‘maafkan Fauzan Ibu’. Hatinya berbisik sendiri, sedangkan semalam sepatah kata pun tidak keluar dari bibirnya. Wajah ibu hanya dipandang sepi begitu sahaja. Serba salah terhadap ibu masih membelengu diri. Wajah kak Anis yang tidak jauh dari ibu semalam hanya dipandang sekali imbas. Takut hendak memandang kak Anis. Kak Anis seolah-olah membenci dirinya, pandangan tajam mata kak Anis telah cukup membuktikan kebencian yang membuak-buak terhadap dirinya.
Fauzan bangun dari sujudnya, pantas dia menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Pandangannya beralih ke setiap sudut bilik kecil yang didiaminya kini. Sunyi, suram, seram, kelam, kosong.
“Ya Allah”
Kalimah nama Allah disebut, wajahnya diraup beberapa kali.
“Hahahahahah, bila susah baru nak ingat tuhan”
Terdengar suara dari hujung sudut bilik kecil itu. Ketawanya semakin galak. Berdekah-dekah mentertawakan Fauzan. Fauzan merapatkan diri ke dinding. Bertentangan dengan orang yang ketawa berdekah-dekah itu.
“barulah terhegeh-hegeh nak bertaubat”. Suara itu masih berkata-kata. Dalam cahaya yang suram itu Fauzan dapat melihat wajah seorang lelaki yang berjambang memenuhi mukanya. Mungkin sudah pun mencecah umur empat puluhan.
Fauzan, hanya diam membisu, takut untuk terus bersuara.
“apa salah kau wahai anak muda?”
Fauzan menunduk, tidak terdaya untuk dia menjawab soalan lelaki itu.
“ hei, kau pekak ke? Apa salah kau? Rompak? Rogol? Hah?”
“bunuh!”
Perlahan suara Fauzan, namun masih boleh didengari oleh lelaki itu di dalam bilik kecil ini. Terdengar dia ketawa lagi. Kali ini bertambah kuat.
“berat-berat, bunuh balasannya mati!”
Keras suara lelaki itu. Menggeletar tubuh Fauzan saat mendengar ungkapan itu.
“kau bunuh siapa?”
Satu soalan yang sukar untuk Fauzan jawab. Fauzan menekup mukanya.
“Ayah aku, abang aku…. Bukan aku yang bunuh, Ya Allah bukan aku yang bunuh”
“ bila dah buat salah mula lah tak mahu mengaku, manusia memang begitu”
Terdengar lelaki itu berkata lagi sambil ketawa kecil. Seolah memerli Fauzan.
“Aku tak sedar aku telah membunuh, bukan aku yang bunuh pada malam itu”
“Jadi siapa pula yang bunuh? Alasan!!”
“Aku tak tahu, bukan aku. Sumpah!”
Pandangannya dialih pada jeriji besi disebelahnya. Sungguh menakutkan.
“Berani kau bersumpah atas nama Allah?”
Pertanyaan lelaki itu membuatkan Fauzan terdiam. Kaku seketika. Terasa ada air jernih yang mengalir perlahan di pipinya.
“Kau tak berani bukan? Maknanya memang kau yang bunuh ayah kau dan abang kau”
“Ayah maafkan Fauzan, abang! Fauzan minta ampun”. Fauzan meraung sekuat hati. Seolah orang hilang akal.
“Jadi memang benar kau bunuh mereka kan?”
Lelaki itu masih bertanya.
“Aku tak tahu, aku tak berniat”
Jawab Fauzan, wajah lelaki berjambang itu direnungnya kembali.
“Tak berniat konon, alasan apa lagi hah wahai orang muda?”
“Aku berkata benar, aku tak mencipta alasan”
Tegas pula jawapan Fauzan kali ini. Lututnya dirapatkan ke paras dada. Sejuk. Kain pelikat yang telah menjadi sejadahnya sebentar tadi diambil lalu diletakan di atas kakinya. Sejuk benar dirasakannya duduk di atas simen ini.
“Jadi apa yang sebenarnya?”
“Aku tak sedar kenapa pisau itu ditangan aku pada malam itu, aku tak sedar kenapa tangan aku berdarah pada malam itu”
“Apa yang kau sedar?”
Lelaki berjambang itu terus bertanya. Fauzan pula seolah senang menjawab soalannya. Lelaki berjambang itu tidak lagi ketawa berdekah-dekah seperti tadi. Tapi kata-katanya penuh dengan ketegasan pula.
“Aku tengok ayah aku terbaring dengan darah yang banyak di perutnya, ibu meraung menangis panggil ayah, Kak Anis memangku tubuh ayah, abang juga berdarah di perutnya, tapi abang hidup lagi masa tu”
Fauzan memegang kepalanya, berdenyut-denyut kepalanya sakit. Fikirannya berputar ligat cuba mengingati malam itu. Apa yang dia ingat darah di sana sini di dalam rumahnya. Ayah mati.
“Ayah mati”
Perlahan suara Fauzan.
“Sebab kau bunuh dia!”
Keras suara lelaki yang berjambang itu. Fauzan memeluk lututnya dengan rapat. Perasaan takut menyelubungi diri.
“ Kan aku dah kata, bukan aku bunuh ayah. Bukan”
Fauzan melawan kembali tuduhan lelaki berjambang itu.
“Abang kau macam mana?”
Lembut pula pertanyaan lelaki berjambang itu kali ini.
Fauzan mengetuk-ngetuk kepalanya berkali-kali. Teringat kata-kata Ibu semalam.
‘Abang di hospital, abang koma. Fauzan jangan risau, doakan abang akan selamat’
“Abang tak mati”
Fauzan seolah bersemangat, terpancar cahaya gembira di wajahnya.
“Tapi Ayah kau mati! Kenapa kau tikam mereka?”
Kali ini Fauzan menangis, terdengar sedu sedan suara garau Fauzan menangis meratap sayu dengan perbuatannya. Menyesal.
“Ada orang suruh aku bunuh mereka”
“siapa?”
“ada suara berbisik di telinga aku malam tu”
“bisik apa”
“Bunuh dia!”
“Kenapa dia suruh kau bunuh? Siapa dia?”
“Aku tak tahu, dia suruh aku bunuh, setiap hari dia berbisik kat telinga aku, selagi aku aku tak bunuh dia akan desak”
“Kau ni gila, siapa yang bisik kat telinga kau?”
Fauzan diam. Tidak tahu suara siapa yang berbisik padanya saban hari. Fauzan menangis kembali.
“Bodoh, kenapa kau menangis? Kau memang gila!”
Lelaki berjambang itu terus terusan memaki Fauzan. Fauzan keliru sendiri, kenapa suara yang menyuruh dia membunuh itu mengganggunya. Lantas ingatannya berputar ligat pada malam kejadian.
Pada malam itu jam menunjukkan pukul 1 pagi. Fauzan bangun dari pembaringan tidurnya yang tidak beberapa lena. Suara itu mengganggunya lagi.
“Bunuh dia”
Bilik abangnya dikuak perlahan. Tubuh abangnya digoncangnya beberapa kali.
“Kenapa Fauzan?” Fazli bangun dari tidurnya. Wajah Fauzan ditatapnya dalam cahaya suram.
“Tak boleh nak tidur”.
Wajah Fauzan sangat kusut. Fazli memegang erat tangan Fauzan, sejuk. Fazli terus mendengar butir bicara Fauzan pada malam itu. Beberapa nasihat telah Fazli utarakan kepada Fauzan. Simpati benar pada Fauzan. Satu-satunya adik lelakinya. Tiba-tiba pisau belati yang selama ini menjadi hiasan di rumahnya tertusuk di perut Fazli. Raungan Fazli menyebabkan semua yang tidur bangun. Entah bila pisau belati itu boleh berada di tangan Fauzan. Fauzan meluru keluar dari bilik itu. Ayah menahan Fauzan untuk pergi.
“Mengucap Fauzan, bagi Ayah pisau tu”
Fauzan menjerit, kali ini perut Ayah pula ditusuk dengan pisau belati itu. Ayah tersungkur jatuh. Hanya dalam beberapa saat ayah lansung tidak bergerak. Terdengar suara kak Anis meraung. Pantas kak Anis memangku tubuh Ayah. Ibu terduduk dihadapan ayah, meraung hiba. Fauzan buntu. Terpinga-pinga. Mimpikah?
“Lari Fauzan”
Suara abang Fazli di pintu bilik menyedarkan Fauzan. Kelihatan tubuh Fazli basah dengan darah merah yang pekat. Pisau belati yang berada di tangannya di campak tidak jauh dari tubuh ayah. Lantas Fauzan melarikan diri.
Fauzan menekup mukanya. Peristiwa malam itu masih menghantuinya. Kerana peristiwa itu dia dibawa ke bilik kecil ini. Entah bila dia dibawa ke sini. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di bilik kecil ini. Fauzan tertawa perlahan.
“Kenapa kau ketawa?”
Lelaki berjambang itu kembali menyoal Fauzan.
“Memang aku tikam mereka malam itu”
Kenyataan Fauzan diiringi dengan tawa besarnya. Ketawa dan terus ketawa. Lama. Tiba-tiba air matanya kembali mengalir.
“ Ya Allah, dosa aku besar, aku telah bunuh ayah aku”
Rintih Fauzan dalam sendunya, tangannya di angkat memohon doa. Kalimah Allah diucap beberapa kali.

nantikan sambungannya setelah aku dapat idea... huhu

No comments:

Post a Comment